Social Icons

Pages

Senin, 30 Desember 2013

Bekas pegawai JPN dedahkan terima arahan Megat Junid benarkan pendatang mengundi

TERKINI @ 06:42:08 PM 16-01-2013
January 16, 2013
KOTA KINABALU, 16 Jan —  Bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menuduh arwah Tan Sri Megat Junid Megat Ayub memberi arahan kepadanya untuk mengeluarkan resit membenarkan pendatang haram di Sabah mengundi dalam pilihan raya negeri pada tahun 1994.

Bekas pengarah JPN Sabah Ramli Kamarudin memberitahu, Megat Junid yang pada ketika itu timbalan menteri dalam negeri memberitahu dirinya resit JPN perlu sama dengan nama dan kad pengenalan pengundi berdaftar.
"Kami beri mereka (pendatang) RM20," kata Ramli kepada Suruhanjaya Di Raja (RCI) berkenaan dengan pendatang haram disini hari ini.

"Kami ajar mereka bagaimana untuk mengundi. Kami kumpulkan mereka di dalam rumah. Kami menghantar mereka menggunakan bas ke tempat mengundi. Kemudian kami hantar mereka balik dan kutip resit tersebut. Resit tersebut hanya untuk mengundi. Kami tak beri mereka kad pengenalan," tambah beliau.
Ramli berkata lebih kurang 200 resit JPN dikeluarkan di lima atau enam kerusi dewan undangan negeri di Sabah yang dianggap sebagai "kawasan hitam yang sukar bagi kerajaan untuk menang."
"Satu kawasan mungkin 400," katanya.Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri paling lama berkhidmat dari 1981-2003, telah dituduh menerajui "Projek IC", di mana kewarganegaraan didakwa diberikan kepada pendatang sebagai ganti kepada undi mereka.

Akan tetapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh, yang mentadbir negeri dari 1976 ke1985, menafikan kewujudan "Projek IC" semalam.

Pilihan raya negeri Sabah 1994 menyaksikan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 25 daripada 48 kerusi dewan undangan negeri.
Akan tetapi tidak lama selepas itu beberapa ahli dewan undangan negeri PBS menyertai Barisan Nasional (BN) menyebabkan kerajaan PBS jatuh.

Ramli memberitahu hari ini beliau ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 1995 hingga 1997.
Beliau juga menafikan menerima imbuhan.
"Ini adalah arahan langsung dari timbalan menteri dalam negeri sendiri walaupun saya akui ianya salah," kata Ramli.

Beliau menambah arahan tersebut diberikan dalam mesyuarat dengan Megat Junid, pemimpin Umno Datuk Seri Osu Sukam (yang kemudiannya menjadi ketua menteri Sabah pada tahun 1999) dan pegawai pendaftar JPN bernama Asli Sidup di Hyatt Hotel dua minggu sebelum pilihan raya 1994.
"Resit tersebut hanya untuk mengundi. Selepas itu, kami akan kutip resit dan musnahkannya," kata Ramli.

Asli memberitahu kemudian 200 resit JPN digunakan di dewan undangan negeri Kawang pada pilihan raya negeri 1994 dimana Osu menang dengan 64 undi. TMI

Tidak ada komentar:

Posting Komentar